Tuesday, January 19, 2010
Elak bekerja di tempat syubhat
SAYA telah lebih 10 tahun bekerja di medan selera (makanan halal) di syarikat yang menjalankan perniagaan hotel, resort, tenaga dan pembinaan.
Baru-baru ini pihak syarikat telah menutup operasi medan selera tersebut. Ia diganti dengan medan selera yang menjual makanan tidak halal.
Saya ditugaskan di bahagian pejabat dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan hanya membuat pengiraan wang untuk operasi serta memasukkan wang hasil jualan harian ke bank. Apakah hukum saya bekerja di sana ?
Jawapan:
Ilmu wajib dituntut bagi melandasi kehidupan seseorang agar terarah kepada yang halal dan menjauhi yang haram.
Kegagalan membezakan yang halal dan haram adalah bermaksud gagal memahami agama Allah yang mendisiplinkan kehidupan manusia bagi menjamin kegembiraan hidup dunia dan akhirat.
Walau bagaimanapun sumber gaji saudara adalah dari sumber yang haram, iaitu dari hasil penjualan perkara haram. Kerana aktiviti haram sangat jelas. Maka saudara wajib mencari kerja yang menjanjikan rezeki yang halal.
Daripada Abu Abdullah an-Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (itu pun) jelas dan di antara kedua-duanya (terdapat) perkara-perkara yang syubhat, ramai di kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhat, dia akan jatuh kepada perkara yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi gembalaannya akan meragut makanan di dalamnya. Ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging, apabila ia baik , maka baiklah seluruh jasadnya. Apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasadnya , ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab 'iman' pada bab siapa yang membersihkan agamanya, juga dalam kitab jual beli.
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab jual beli dalam bab mengambil yang halal dan meninggalkan syubhat.
Imam al-Bukhari yang terkenal dengan kefakihan dalam persoalan hadis serta istinbat (mengeluarkan hukum) sangat menyedari bahawa hadis ini bukan sahaja gunanya untuk para peniaga. Malahan isyarat halus bahawa menjaga diri dari perkara yang syubhat juga bermaksud menjaga iman.
Ini kerana makanan mempunyai kuasa yang luar biasa dalam menentukan tingkah laku seseorang.
Saya tidak tahu barangan apa yang dijual, mungkin juga arak, mungkin juga daging binatang yang haram dimakan oleh orang Islam dan sebagainya yang mengikut fikah hukumnya haram.
Ini keadaan hukum asal, orang Islam adalah ditegah sama sekali dari terlibat dalam aktiviti-aktiviti haram, termasuklah bekerja ditempat-tempat yang melibatkan penjualan perkara-perkara yang haram.
Hukum asal haram, tetapi adakalanya hukum itu berubah dengan berubahnya keadaan. Seseorang itu boleh terus bekerja di tempat sebegini sementara mendapat kerja lain.
Keadaan ini diharuskan kerana khuatir sekiranya berlaku mudarat yang lebih besar, contohnya kematian, terdedah kepada dosa yang lebih besar, mungkin juga mengheret seseorang itu kepada kekufuran terhadap Allah SWT. Dalam masa yang sama tiada pendapatan yang lain.
Namun keharusan ini hanyalah untuk menyelamatkan nyawa dan maruah untuk sementara sahaja dengan syarat berazam untuk berhenti sekiranya mendapat kerja lain. Dalam masa yang sama hati kita membenci perbuatan berkerja di tempat yang ada aktiviti haram.
Walaupun gaji yang ditawarkan mewah ia tidak sama dengan gaji yang sedikit tapi berkat. Sekiranya saudara berazam dengan penuh keimanan dan kesedaran dari hati yang ikhlas kerana Allah pasti Allah SWT akan membuka jalan dan memberi keampunan.
Sekiranya saudara tiada usaha untuk mencari rezeki yang halal dan selesa dengan pendapatan yang haram maka mudaratnya akan berpanjangan.
Sumber
Sunday, November 15, 2009
Hukum hebahkan bayar zakat
SOALAN:
ADAKAH membayar zakat secara terang-terangan misalnya disiarkan di media itu suatu yang dilarang? Adakah ia boleh mengurangkan pahala berzakat?
Jawapan:
Di dalam Islam, ada amal ibadah yang dikategorikan wajib dan ada yang dikategorikan sunat. Amal yang wajib, sama ada disukai ataupun tidak, wajib dilaksanakan sesempurnanya.
Jika amal yang sunat, maka kita digalakkan mengerjakannya kerana ia mendatangkan pahala dan kelak mampu lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Oleh itu, sesiapa yang melakukannya amalan wajib dan diikuti amalan sunat, maka pastilah mereka lebih disukai Allah SWT berbanding mereka yang malas beramal.
Menyentuh amalan berzakat, ada ulama fikah beranggapan ia adalah sesuatu yang wajib dan kewajipannya itu menjadi sesuatu yang tidak salah jika ia dilakukan secara terang-terangan.
Samalah dengan wajibnya mendirikan solat, maka seseorang tidak perlu bersembunyi menunaikannya. Ia termasuklah kewajipan menunaikan solat berjemaah (fardu kifayah) di masjid secara terbuka.
Ia wajib ditunaikan demi mengelakkan semua umat Islam di sesuatu kariah itu menanggung dosa. Maka, tidak timbul orang berkenaan mahu menunjuk-nunjuk rajin dengan menunaikan solat berjemaah bahkan dituntut agar memberikan kesan kepada orang yang malas solat berjemaah.
Pandangan ini misalnya dikeluarkan oleh Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Datuk Mokhtar Syafiee.
Bahkan daripada satu aspek lain, zakat yang wajib itu apabila dikeluarkan secara terang-terangan akan mendatangkan aspek yang positif pada dua sudut.
Pertama, ia akan menjadi pemangkin kepada umat Islam yang lain, khususnya golongan yang kaya-raya agar sama-sama bangkit menyahut seruan berzakat.
Apatah lagi apabila seseorang yang menunaikan zakat itu mendedahkan, bahawa beliau menjadi kaya dan bertambah kaya berkat menunaikan zakat pada setiap tahun. Sudah pasti kenyataan ini akan menjadi motivasi pula kepada orang lain.
Keduanya ialah kesan positif kepada orang fakir miskin dan asnaf zakat yang lain. Apabila orang yang kaya-raya memberi zakat secara terbuka, barulah orang-orang fakir dan miskin menyedari bahawa si kaya berkenaan tidak kedekut atau tidak lokek dalam berkongsi kekayaan.
Sudah pastilah orang-orang miskin merasa sayang kepadanya bahkan hormat di atas komitmen yang tinggi orang kaya berkenaan dalam bab zakat.
Kesimpulannya, Islam tidak melarang jika pemberian zakat dihebahkan. Walau bagaimanapun, orang yang menunaikan zakat mestilah meletakkan perasaan tawaduk atau rendah diri yang tinggi di dalam hatinya.
Mereka mestilah menyedari, semua harta yang dizakatkan itu adalah harta Allah SWT, mereka hanya sekadar menjalankan amanah-Nya sahaja. Wallahua’lam.
Wanita lebih utama solat di rumah
SOALAN:
SAYA ada kemusykilan tentang kedudukan wanita dalam solat berjemaah. Adakah hadis sahih yang kata perempuan tidak digalakkan turun surau?
Adakah sirah Nabi atau para sahabat yang mana ada muslimat yang komited untuk berjemaah di surau?
Jawapan:
Solat berjemaah di masjid atau surau sangat digalakkan dalam Islam. Hadis-hadis Rasulullah SAW juga cukup banyak yang sentiasa memberi motivasi bahawa pahala orang yang solat berjemaah jauh lebih baik berbanding solat bersendirian.
Di sana juga terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengecam dan memberi amaran yang sangat keras bagi mereka yang tidak hadir solat berjemaah.
Malahan dalam suasana yang sangat getir pun mereka tidak mengabaikan solat berjemaah. Disebabkan keyakinan yang tidak berbelah bagi Rasulullah SAW bahawa penyatuan saf di dalam masyarakat adalah bermula dengan penyatuan saf di dalam masjid.
Masjid menjadi tempat bertemu dan bertanya khabar, peluang menyuburkan semangat persaudaraan. Sebab itulah, falsafah solat berjemaah adalah bertujuan menyatukan ummah sehingga dilabel sebagai khaira ummah (umat terbaik).
Masjid mampu merungkai persengketaan dan perbalahan, tempat menimba yang jernih. Dalam pada itu persoalan solat berjemaah dan fadilatnya banyak ditujukan kepada kaum lelaki bukan kaum wanita.
Namun demikian, ini tidaklah bermaksud wanita tidak perlu ke masjid atau surau untuk solat berjemaah. Untuk memberi jawapan kepada persoalan ini para ulama telah berbincang dan memberi beberapa saranan dan pandangan.
Solat berjemaah di masjid wajib hukumnya, di mana keterangan masalah ini nampak sekali imbas bahawa solat jemaah seakan-akan diwajibkan bagi setiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan.
Padahal tidaklah demikian. Ini kerana di dalamnya terdapat beberapa pengecualian dan pengkhususan.
Di antara pengkhususan itu adalah tidak diwajibkan solat berjemaah bagi wanita. Hal itu sesuai dengan ijmak (kesepakatan) ulama. Adapun dibolehkan mereka ikut serta dalam solat berjemaah bukan bererti merupakan kewajipan bagi mereka sebagaimana yang telah dikatakan oleh Abu Muhammad bin Hazm rahimahullah; “Adapun bagi wanita maka hukum menghadiri solat berjemaah adalah tidak wajib. Dalam perkara ini tidak terdapat ikhtilaf di antara para ulama”. (Al Muhalla 4: 196)
Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjemaah di masjid. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita yang bermaksud: “Solat di bilikmu (rumahmu) lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”. (riwayat Ibn Khuzaimah)
Di dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita kamu (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka”. (riwayat Ibnu Khuzaimah)
Berkata Imam Asy Syaukani r.h ketika menjelaskan lafaz “Rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka”, maksudnya adalah “Solat mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan solatnya di masjid”.
Jika mereka mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar masjid). Akan tetapi kerana mereka tidak mengetahuinya, maka mereka meminta izin untuk keluar ke masjid dengan berkeyakinan bahwa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya”. (al-Syaukani, Nailul Authar 3:131).
Dari riwayat-riwayat di atas, para ulama mengistinbatkan hukum bahawa solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solat di masjid.
Walaupun demikian mungkin akan timbul dalam benak kita suatu pertanyaan: “Manakah yang lebih utama, wanita solat di rumahnya dengan berjemaah atau solat sendiri. Dan apakah solat jemaahnya akan mendapatkan seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yakni lebih utama 27 darjat)?”
Untuk menjawab pertanyaan ini terlebih dahulu kita melihat syarah hadis solat berjemaah lebih utama dibandingkan solat sendiri dengan dua puluh lima (dalam riwayat lain dengan dua puluh tujuh) darjat. Apakah hadis tersebut bersifat umum bagi lelaki dan wanita?
Hujah-hujah yang dikemukakan tadi adalah berdasarkan tuntutan bahawa wanita tidak disuruh dan jangan dilarang.
Hukum awal wanita tidak digalakkan ke masjid atas tujuan mengelak fitnah yang mungkin berlaku, kerana perumahan di zaman Madinah dan Mekah agak jauh dari Masjid. Atas kebimbangan keselamatan adalah lebih baik solat di rumah masing-masing.
Perkara kedua, budaya masyarakat Arab memang tidak akan membenarkan wanita keluar bersendirian, suami akan dikata sebagai tidak bertanggungjawab.
Namun demikian hari ini ramai wanita yang ke masjid tidak ditemani oleh suami tapi dengan izin. Ini kerana suasana hari ini mungkin lebih selamat, apatah lagi dalam suasana kampus.
Beberapa Syarat
Telah menjadi ijmak (kesepakatan) para ulama bahawa Rasulullah tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjemaah di masjid bersama beliau sehingga wafatnya.
Demikian pula para Khulafah Rasyidin sesudah beliau SAW. Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah satu wanita di antara kalian meminta izin ke masjid, maka janganlah kalian cegah mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Janganlah kalian melarang hamba (para wanita) Allah ke masjid-masjid Allah. (riwayat al-Bukhari)
Menyoroti hadis-hadis di atas, Imam Nawawi r.a berkata: Hadis ini dan yang semisalnya (menjelaskan) dengan jelas sekali bahawa wanita tidak dilarang pergi ke masjid. Akan tetapi dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama yang diambil daripada hadis-hadis iaitu: Tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj (berhias-hias, bersolek-solek), tidak memakai gelang kaki yang dapat terdengar bunyinya, tidak memakai baju yang mewah, tidak berikhtilat dengan kaum lelaki dan bukan gadis yang dengannya dapat menimbulkan fitnah, tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan bahaya di jalan yang akan dilalui. Apabila dia mempunyai suami atau tuan dan terpenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, maka dimakruhkan melarang mereka ke masjid. Namun jika dia belum/tidak mempunyai suami atau tuan, maka diharamkan melarang mereka ke masjid apabila terpenuhi syarat-syarat di atas. (Syarh Shahih Muslim 4:382-383).
Inilah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama yang disyariatkan kepada para wanita yang ingin ke masjid. Syarat-syarat ini diambil daripada hadis-hadis Nabi SAW.