Sunday, July 31, 2011

Juruterbang diberi kelonggaran berbuka puasa

Soalan:

USTAZ, saya mempunyai beberapa soalan mengenai ibadat puasa. Saya juruterbang yang bertugas membabitkan perjalanan jauh. Adakah saya termasuk dalam golongan yang diberi kemudahan berbuka. Saya mendengar ada orang mengatakan tidak boleh berbuka kerana kapal terbang itu kenderaan mewah dan tugasan pula selalu dibuat. Kedua, apakah hukum menggosok gigi selepas gelincir matahari dan soalan terakhir, bagaimana cara terbaik mendapatkan manfaat Ramadan?

Jawapan

Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184: “(Puasa yang diwajibkan ialah) beberapa hari yang tertentu (29 atau 30 hari), maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (haruslah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dia buka) itu pada hari lain.”
Walaupun puasa Ramadan adalah kewajipan, Allah masih memberi keizinan kepada mereka yang sakit atau musafir untuk berbuka kerana Islam agama rahmat. Keizinan ini diberikan kepada mereka yang jarang musafir atau selalu musafir. Seperti Allah memberikan kelonggaran untuk jamak dan qasar solat bagi musafir, begitu juga puasa diberi keizinan untuk berbuka, tetapi hendaklah menggantikan bilangan hari yang dibuka itu pada bulan lain.

Dalam hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Saya musafir bersama Rasulullah SAW pada Ramadan. Orang berpuasa tidak mengingkari orang berbuka dan yang berbuka tidak mengingkari yang berpuasa.” Begitu juga hadis riwayat Muslim daripada Jabir RA, beliau berkata, Rasulullah SAW keluar ke Makkah ketika pembukaan Makkah pada Ramadan. Baginda SAW berpuasa hingga sampai di Kura’ Ghanim. Orang ramai juga turut berpuasa. Lalu dikhabarkan kepada Baginda SAW: “Sesungguhnya puasa membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang tuan akan buat.” Kemudian selepas Asar, Baginda meminta sebekas air lalu meminumnya. Dalam hadis itu, jelas bagi mereka yang musafir, harus untuk berbuka.

Untuk soalan kedua, bersugi selepas gelincir matahari (sesudah masuk waktu Zuhur) makruh menurut pandangan mazhab Syafii. Bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Justeru menghilangkannya adalah makruh seperti dinyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada digenggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Tetapi ada juga pandangan ulama mengatakan tidak makruh kerana Baginda SAW menggalakkan bersugi setiap kali solat. Seperti dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi setiap kali hendak solat.”

Sebenarnya, antara hikmah ibadat puasa adalah menyuburkan rasa ketakwaan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan yang penuh keberkatan. Sudah selayaknya umat Islam rasa gembira dikurniakan Ramadan.

Dalam satu hadis riwayat an-Nasa’i daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sudah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana diwajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan inilah pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya sementara ditutup rapat pintu neraka, diikat pula syaitan. Pada bulan inilah juga ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terlepas keberkatan dan kebaikan malam itu, maka dia adalah orang rugi yang terlepas daripada segala kebaikan malam itu.”

Justeru, marilah kita berusaha untuk mendapat kebaikan Ramadan dengan melakukan amalan yang dapat meningkatkan ketakwaan serta dapat mendekatkan diri kita dengan syurga Allah SWT. Marilah kita berubah daripada orang yang lemah iman kepada teguh iman dengan berpuasa. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa seperti diwajibkan kepada orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Syeikh Said Hawwa mengatakan jika kita tidak dapat menjadi orang yang bertakwa pada Ramadan dan bulan selepasnya, maka tiada puasa buat kita atau sebenarnya kita tidak berpuasa. Wallahua’lam

Sumber

Tuesday, July 26, 2011

Erti keberkatan zakat

SERING zakat dikaitkan dengan berkat. Misalnya, ada ungkapan bahawa orang yang berzakat pasti mendapat berkat. Persoalannya, bagaimanakah keberkatan itu dinilai, adakah apabila berzakat RM300 setahun, maka kita dapat kembali RM600? Atau ada petunjuk tertentu dalam menilai keberkatan yang kita perolehi. Harap mendapat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan:

Berkat adalah suatu kurniaan istimewa daripada Allah SWT. Hanya orang yang memperolehi keberkatan itu sahaja yang merasai nikmatnya.

Maka, manusia memang diminta agar mencari keberkatan. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak akan merasa lega dan puas biar pun harta melimpah.

Allah SWT menyatakan:Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155-157)

Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat.

Berkat pada zakat amat besar kesannya. Ia menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya (Sebahagian hadis riwayat Ahmad)."

Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi.

Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.

Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara.

Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang. Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun.

Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT bukan sebaliknya.

Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng-benteng zakat (riwayat Abu Daud)."

Maka, kita wajib memastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya seperti melakukan infak, zakat dan sedekah. Sebagaimana diingatkan Allah: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-Imran: 92)

Ada pun kesan-kesan keberkatan memang boleh 'dilihat' oleh kita, dengan syarat hendaklah kita memerhatikannya dengan pandangan 'mata hati'. Sebagai contoh, kita dikurniakan anak-anak yang soleh, sihat fizikal dan mental juga cemerlang dalam pendidikan, mendapat isteri yang solehah dan taat kepada suami serta rajin berbudi, atau dikurniakan suami yang mithali lagi suka berbakti, keluarga kita pula sentiasa ceria dan harmoni.

Mendapat harta yang cukup serta segala keperluan dapat dipenuhi, tidak pula ditimpa musibah yang mencengkam diri, tiada juga berlaku pergeseran dengan jiran di kanan dan kiri, bahkan harta pun selamat tidak dicuri dan pelbagai indikator lagi.

Hakikatnya, memang kita umat Islam dididik agar melaksanakan kewajipan agama tanpa mengharapkan balasan; namun sebagai orang awam apa salahnya jika kita meletakkan keberkatan yang dijanjikan Allah SWT ini sebagai motivasi dalam amalan.

Tidak menjadi satu kecacatan di sisi Allah SWT, kerana menjadi hak Allah jugalah untuk memberikan imbalan yang setimpal atas setiap amal perbuatan insan.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (syurga). (al-Lail: 5-7). Wallahu a'lam.

Sumber

Bayar fidyah di pejabat zakat

Bayar fidyah di pejabat zakat

Saya telah ketinggalan membayar puasa wajib tiga tahun yang lepas selama 10 hari. Saya tidak mampu untuk membayar dalam bentuk berpuasa jadi saya ingin membayar fidyah.Apa yang saya ingin tanyakan pada ustaz adalah berapakah nilai yang saya perlu bayar sekiranya saya ingin membayar dalam bentuk tunai dan kepada siapakah yang layak untuk saya berikan fidyah ini?

Jawapan:

Maksud Fidyah adalah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakili satu hari yang tertinggal puasa Ramadan padanya.

Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.

Contohnya si polan telah meninggalkan puasanya sebanyak lima hari, maka dia wajib membayar fidyahnya sebanyak lima cupak beras kepada fakir miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu adalah beberapa hari tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)

Fidyah adalah bayaran denda yang dikenakan terhadap individu Islam yang tidak dapat menggantikan puasanya di bulan Ramadan pada suatu tahun sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.

Bayaran fidyah ini boleh diserahkan kepada orang fakir miskin atau di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri yang menyediakan khidmat bayaran denda fidyah. Hukum membayar fidyah adalah wajib.

Penangguhan membayar zakat akan menyebabkan fidyahnya berganda mengikut tahun. Bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan uzur syarie, selepas itu tidak mampu menggantikan puasa tersebut maka hendaklah membayar fidyah pada tahun yang sama dengan bagi setiap hari satu cupak.

Sekiranya seseorang itu telah mengetahui bahawa dia tidak akan dapat berpuasa atas alasan-alasan syarie maka hendaklah bersegera dalam melangsaikan fidyah tanpa bertangguh.

Apabila ditangguhkan pembayaran fidyah sehingga menjelma bulan Ramadan pada tahun berikutnya maka fidyah menjadi ganda mengikut tahun.

Contohnya Abu tertinggal puasa pada tahun 2005 sebanyak 10 hari kemudian dia didapati menghidap penyakit yang sukar diubati, dan dia juga disahkan tidak boleh berpuasa maka dia hendaklah membayar fidyah pada tahun 2005 tetapi dia tidak berbuat demikian.

Namun pada tahun 2011 dia sedar bahawa fidyah bagi puasa yang ditinggalkan pada tahun 2005 perlu dibayar. Apa yang harus dilakukan oleh Abu ialah pertamanya mengira hari yang tertinggal puasa, iaitu 10 hari x dengan gandaan 5, iaitu lewat 5 tahun, maka jawapannya adalah 50 hari, setiap hari satu cupak x dengan 50 hari> 50 cupak.

Kadar satu cupak adalah nilai zakat fitrah yang dibahagikan kepada 4. Katakan zakat fitrah bagi negeri Selangor tahun 2010 adalah RM7/4>1.75. Maksudnya 50 x RM1.75> RM87.50. Begitulah seterusnya dalam pengiraan bayaran fidyah.

Namun ada yang berpendapat bahawa fidyah tidak wajib bagi mereka yang mampu berpuasa, kerana fidyah hanya dikenakan ke atas mereka yang sudah tentu tidak dapat berpuasa. Bagi mereka yang mampu berpuasa hendaklah mengqadanya bukan dengan membayar fidyah.

Namun pandangan membayar fidyah bersama qada puasa juga disetujui oleh ulama Mazhab al-Syafieyyah.

Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam memberikan keringanan (rukshah) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin.

Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin.

Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya.

Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan fidyah adalah dua perkara yang berbeza.

Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar fidyah, maka anda boleh mewakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin. Boleh juga membayar fidyah di kaunter-kaunter zakat negeri masing-masing.

Sumber